Nesrac tidak 'ceroboh' kuaters lama JKR
SEREMBAN 28 Jan. - Kelab Radio Amatur Negeri Sembilan (Nesrac) menafikan laporan sebuah akhbar tabloid kononnya tindakan mereka menduduki kuarters lama milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini sebagai tidak sah.
Presiden Nesrac, Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihaknya telah membuat permohonan secara sah pada 12 Februari tahun lalu dan tidak timbul dakwaan bahawa mereka menceroboh hak yang dituntut Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (Nesda).
''Setahu saya, kami mengikut semua prosedur yang ditetapkan kerana setiap permohonan adalah terletak di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya juga telah menghantar surat permohonan tersebut sebelum Nesda mengemukakan permohonan mereka.
''Pelbagai program kebajikan telah diatur oleh kelab ini tetapi kita tidak menghebahkan kepada orang ramai kerana kebiasaannya kami memberikan pertolongan semasa kecemasan atau bencana alam,'' katanya.
Menurut beliau, antara aktiviti yang dilakukan termasuk operasi menyelamat pada tahun 2002 semasa kereta api tergelincir di Gemas serta membantu mangsa banjir di Rantau, Linggi dan Lubuk Cina.
source : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_06.htm
No comments:
Post a Comment